SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai
karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap
orang.
Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.
Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.
Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan
kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal
melibatkan dunia percintaan.
Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:
1. Lupakan masa lalu
Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun
ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui
sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan
biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan
yang sedang terjalin.
Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan
bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke
tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih
yang siap dicorak.
2. Temui ramai orang
Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran
dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon
kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama
dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh
membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.
Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke
pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini,
bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan
segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus
atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan
wanita.
3. Ubah penampilan
Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak
salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk
mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model
rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.
Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju
berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan
menonjol pada setiap masa.
4. Jangan terburu-buru
Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi,
jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli
keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali
merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang
masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu
perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.
5. Jangan terlalu memilih
Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses
akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru.
Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.
6. Buat keputusan
Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan
takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan
kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang
berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.
There are 0 comments
conteng-conteng